Thursday, November 13, 2008

SAAT KEHAMILAN YANG MENDEBARKAN

Pertama kali menjadi ibu merupakan satu pengalaman yang amat beharga dan sungguh bermakna. Tanyalah mana-mana ibu di dunia ini. Saat yang paling indah yang melengkapi hidup sebagai wanita adalah ketika pertama kali dihadiahkan Tuhan denyutan jantung di dalam ruang kecil rahim.

Merasai gerakan-gerakan dan tendangan-tendangan halus dari dalam perut memang mengujakan! Mengusap-ngusap dan berbicara dengan 'orang dalam' adalah suatu pengalaman yang amat menyeronokkan. Pelbagai bayangan dan imaginasi terhadap bayi yang akan dilahirkan amat-amat mendebarkan namun seringkali membuatkan si ibu bercampur baur dengan perasaan gembira dan gusar. Gembira kerana akan dikurniakan Tuhan seorang cahayamata buat pelengkap hidup si ibu dan ayah. Gusar kerana belum tentu tahu akan untung nasibnya kelahiran tersebut. Namun hanya yang baik-baik diucapkan dan didoakan buat cahaya hati ibu dan ayah.

Fizikal si ibu tentunya terkesan dengan proses kehamilan. Perut memboyot yang perlu diusung ke sana ke mari 24 jam sehari memang membebankan. Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul, namun atas dasar kasih dan sayang terhadap si kecil di dalam kandungan segalanya menjadi alah bisa tegar biasa. Urat-urat betis si ibu mula jelas kelihatan dan ibu seringkali termengah-mengah di saat akhir kehamilan. Namun segalanya ditempuhi dengan penuh kesabaran. Inilah latihan amali bagi bakal ibu bagi mempersiapkan jasmani, rohani dan emosi untuk berdepan dengan status ibu kelak yang mana proses membesarkan si kecil bukanlah suatu tugas yang mudah. Pelbagai cabaran sedang menanti yang mana si ibu harus mempunyai emosi yang kental dan fizikal yang kuat dan sihat. Namun, kasih sayanglah yang mengatasi segala-galanya walaupun si ibu belum pun lagi pernah 'bertentang mata' dengan si kecil 'di dalam'.

"Shhhh, tenang-tenang sayang, ibu sayang kamu. Tak sabar rasanya mengucupi pipi gebu mu"

Ibu menanti dan membilang hari...demi hari..dengan penuh pengharapan pada yg Esa.

No comments: