Suatu malam, saya betul-betul kepenatan. Ketika suami saya di masjid, tinggallah saya bersendirian ditemani si kecil kami, Nawwar yang baru menginjak 20 bulan. Selepas waktu maghrib, tidak dapat lagi saya menahan keletihan yang melampau ini, terus saya merebahkan badan ke tilam. Nawwar yang masih menyusukan badan cepat-cepat merapati saya dan merengek dengan bahasa pelatnya mahu disusui. "Nenen..nenen". Lantas bersegera saya susukannya, berbaring, sambil melayan rasa penat dan mengantuk yang betul-betul menguasai saya ketika itu. Nawwar sebenarnya seperti 'ketagihan' susu badan yang tidak pernah ditinggalkannya semenjak berusia satu hari. Walaupun saya tidak dapat memberikan *susuan ekslusif kepadanya selama 6 bulan (oleh kerana kejahilan saya di dalam teknik penyusuan badan bagi ibu bekerjaya), namun saya tekad untuk meneruskan penyusuan 'campuran' (susu badan & botol) sehingga dia berumur 2 tahun kelak. Nawwar terus menyusu sambil jari-jemari halusnya mengurut-ngurut badan saya. Wah! syoknya dia menyusu! Matanya yang sayu dan seakan-akan mengantuk seolah-olah seperti diberi 'ubat tidur' bila saja disusukan.
Tanyalah mana-mana ibu pun, inilah saat paling indah bagi mana-mana ibu yang menyusui bayi! Riak wajah Nawwar ketika menyusu tidak pernah berubah seperti mana dia masih bayi kemerahan dulu menyebabkan perasaan keibuan saya membuak-buak tiap kali saya memerhatikannya menyusu. Inilah 'pengikat ' jiwa antara kami anak beranak iaitu menyusu badan. Lihat saja di mana tempatnya susu ibu itu, iaitu di dada dan di sisi jantung dan hati si ibu. Maka memang benarlah anak adalah jantung hati ibu!
Berulang alik daripada rumah saya di Seremban ke tempat kerja di Kuala Lumpur memang menyebabkan masa saya bersama Nawwar amat-amat terhad! Saya bertolak ke tempat kerja seawal Subuh dan hanya tiba di rumah sekembalinya dari pejabat pada waktu maghrib selalu juga saya sampai selepas Isya'. Pagi-pagi Subuh saya telah menghantar Nawwar ke rumah pengasuhnya yang hanya terletak di hadapan rumah saya. Alhamdulillah tidaklah teruk kami suami isteri mengambil dan menghantar Nawwar saban hari. Pengasuh Nawwar yang membahasakan dirinya sebagai "Ibu" pada anak-anaknya termasuk Nawwar dan 'anak-anak asuhan' lain itu tidak jemu-jemu membuka pintu pagi-pagi subuh untuk Nawwar yang merupakan 'anak asuhannya' yang paling awal tiba di rumahnya. Pengasuh tersebut mempunyai 8 orang anak yang semuanya amat rapat dengan Nawwar. Pantang saja Nawwar keluar dari pintu rumah dan menjengah diri di pagar hadapan, mesti saja Nawwar disapa mereka. Memang amat mencuit hati melihat gelagat Nawwar dan 'adik beradiknya' bertegur sapa. Nawwar yang baru belajar bercakap sepatah dua kata hanya mampu terjerit-jerit kegembiraan apabila disapa.
Sebenarnya kelapan-lapan anak pengasuh Nawwar memang 'adik-beradik Nawwar yang sedarah sedaging'.
Ini adalah oleh kerana 'Ibu' merupakan ibu susuan Nawwar.
Saya dan suami membuat keputusan untuk menjadikan 'Ibu' sebagai ibu susuan Nawwar atas tiga faktor utama:
1. Untuk keperluan susuan badan bagi meningkatkan anti-bodi Nawwar yang ketika itu sering tidak sihat (ketika mula2 saya pindah ke Seremban, Nawwar jatuh sakit sehingga 2 kali ditahan wad akibat jangkitan paru2. Saya pula tidak mempunyai kelengkapan mengepam susu waktu itu)
2. Untuk mengeratkan lagi hubungan jiwa antara Nawwar dan 'Ibu' oleh itu, jiwa saya&suami tenteram meninggalkan Nawwar dalam masa yang agak lama sehari kerana saya yakin seseorang yang mengasuh dengan kasih sayang, akan mengasuh dengan seikhlas hati (Percayalah, memang 'Ibu' amat menyayangi Nawwar. Suaminya, 'Bapak' juga nampak ketara mengasihi Nawwar)
3. Untuk 'menambahkan ahli keluarga Nawwar' dan mengeratkan hubungan silaturrahim antara keluarga saya dan keluarga saya. (Memang saya tidak rasa mereka seperti orang lain, malah saya merasa mereka seperti saudara mara sedarah daging saya sendiri)Saya dan suami amat positif di dalam membuat keputusan "berkongsi kasih dan 'nasab' " dengan keluarga ibu susuan Nawwar.
Memang ada suara-suara sumbang yang mengkritik mengatakan bahawa betapa 'bahayanya' risiko2 mendatang apabila Nawwar menginjak remaja dan dewasa kerana kononnya akan membuatkan Nawwar di dalam dilema jika dia ditakdirkan 'jatuh suka' pada saudara susuan lelakinya serta bermacam-macam kritikan yang singgah di telinga saya. Namun saya pekakkan telinga kerana bagi saya jika Nawwar dan keluarga susuannya dididik dan faham akan hukum-hakam dan syariat, maka perkara-perkara karut tersebut tidak akan terjadi.
Bila ada yang mengkritik, pelan-pelan saya cuba positifkan kembali jiwa saya dengan kisah seorang insan agung yang menjadi kekasih Allah, dialah Rasulullah SAW yang juga disusukan oleh ibu susuannya Halimatus Sa'diah. Wallahu a'lam.
No comments:
Post a Comment