Monday, March 23, 2009

MEMBAWA KAKAK NAWWAR MELIHAT ADIK BABY SAMBIL BERTEGUR SAPA DENGAN PAK BIDANNYA


Temujanji bulanan saya bagi pemeriksaan antenatal di salah sebuah hospital swasta di KL (hospital panel tempat saya bekerja) kali ini amat mengujakan! Melihat imbasan bayi kami yang semakin membesar yang sekarang masuk bulan ke lima sungguh menyeronokkan. Walaupun kehamilan kali ini bukan kali yang pertama, namun pengalaman mengandung memang sesuatu yang pasti dirindui oleh semua yang pernah menjadi ibu. Bukan sahaja para ibu, tetapi para bapa pun sama-sama ’berjangkit’ perasaan gembira kerana bersebabkan si bapalah (dengan izin Allah jua), si bayi tercipta di dalam rahim ibu!

Apa yang amat menggembirakan kami adalah kerana bayi kami telah membuat show-up menunjukkan dengan jelas jantinanya. Nampak jelas ’burungnya’ apabila bayi kami membuka luas pehanya. MashaAllah, jikalau tepatlah apa yang ditunjuk oleh scanner di hospital tempohari maka kami telah 'lengkap' mendapat sepasang cahayamata perempuan dan lelaki. Sungguh lucu apabila sempat kami saksikan bayi kami yang sedang tersedu. Tertelan air ketuban kata doktor berjenaka! Dan amat mengujakan apabila melihat aksi bayi kami yang persis ’seorang perenang amatur’ menguak-nguakkan lengan dan mengayuh kakinya melalui skrin scanner tersebut.

’Kakak’ Nawwar, bakal kakak yang baru mencecah 2 tahun 2 bulan memang nampak blurred sungguh apabila suami saya menunjukkan skrin scanner yang memaparkan imbasan adik lelakinya. Maklumlah gambar scanner 2-D yang bewarna hitam memang tidak jelas langsung di mata budak sekecilnya. Namun Nawwar telah kami ’maklumkan’ mengenai kehadiran orang baru ini dengan mengajarnya mencium perut saya dan memberi salam kepada ’adik baby’ di dalam perut ummi. Dia seakan faham akan kehadiran orang baru ini.

Namun benarlah kata orang tua-tua, anak kecil yang bakal mendapat adik selalunya akan ’membuat perangai’ dan ’membuli’ ibu bapanya. Manja Nawwar semakin menjadi-jadi. Untuk menidurkannya, terpaksa saya meletakkan dia betul-betul di bawah ketiak saya agar dia cepat lena. Menjadi tabiatnya pula setiap malam sebelum terlena untuk menarik tangan saya dan mencium berkali-kali lengan saya. Tidak sah kalau tidak 'melekap' dengan saya! Alahai anak ummi. Seakan tahu saja yang tempatnya akan diambil alih oleh ’adik baby’ nya. Kasihan pula saya mengenangkannya.

Berbalik kepada sesi pemeriksaan antenatal saya, doktor sakit puan yang memeriksa saya sebenarnya adalah doktor yang sama membidankan saya semasa melahirkan Nawwar. Ya, bidan lelaki. Beliau memang terkenal di hospital tersebut dengan sikap kelakar, ramah tamah dan suka ’membebel’, tetapi bebelan yang menyenangkan. Maksud saya, bebelan yang menunjukkan sikap caring seorang doktor. Nawwar pula yang sememangnya seorang toddler yang peramah dan extrovert telah ’bertegur sapa’ dengan doktor tersebut serta ’menyampuk2’ percakapan doktor dengan menggunakan bahasa pelatnya sendiri (yang hanya dia sahaja yang faham). Nampak sungguh serasi pak bidan dengan si Nawwar! Sampaikan di akhir sesi Nawwar mengucapkan ’bye’ dengan nyaring sambil melambaikan tangannya seolah-olah sudah lama kenal!

Sebenarnya, semasa melahirkan Nawwar, saya telah memilih seorang doktor wanita, namun, oleh kerana ’jalan keluar bayi’ yang tidak terbuka dari pagi hingga ke petang, tambahan pula tarikh melahirkan yang telah over-due 3 hari, maks saya terpaksa menjalani pembedahan ceasarian. Dan doktor lelaki tersebutlah telah mengambil alih tugasan ’membidankan’ saya. Rupa-rupanya mengikut beliau, leher Nawwar sebenarnya telah terbelit dengan tali pusat! Patutlah Nawwar ’enggan keluar ikut pintu’, ’takut tercekik!’ Alhamdulillah, segalanya selamat. 'Pak bidan' tersebutlah yang bertanggungjawab ’menarik’ Nawwar ’keluar ikut tingkap’ demi mengelakkan risiko.

Saya berdoa dan berharap agar kelahiran bayi kami yang kedua ini akan berjalan lancar dengan selamat sejahtera. Saya juga berdoa agar saya boleh melahirkan cahayamata kedua ini secara normal. Walaupun saya amat berdebar dan takut membayangkan kesakitan bersalin normal, namun saya pasti para pembaca semua bersetuju bahawa, bersalin secara normal berpuluh kali ganda lebih baik daripada secara pembedahan.

Kepada Tuhan kita berdoa dan berharap di samping tidak lupa untuk berusaha.

1 comment:

Shaza Shamsuddin said...

salam ummunawwar, salam ziarah dari saya. tahniah for your 2nd pregnancy. moga segalanya berjalan dengan baik, insyaAllah :)