Sambil-sambil makan sebentar tadi, saya tumpang berbual dengan kawan-kawan sepejabat. Topik hangat kami tentunya mengenai perancangan organisasi dimana kami bekerja yang sedang rancak menjalankan mesyuarat mengenai pelan rekabentuk untuk pembinaan ibu pejabat baru di atas tanah milik organisasi ini. Kesemua pengurusan kanan dan tertinggi dipanggil untuk menabur idea dan cadangan terhadap ruangan dan rekabentuk bangunan tersebut sebelum mereka melantik arkitek dan pembina pangunan tersebut.
Maka sebagai ibu, sudah tentulah saya dan rakan-rakan tertanya-tanya mengenai kemudahan pusat jagaan dan asuhan kanak kerana bagi kami kemudahan sebegitu tentunya amat meringankan beban kami dalam menghantar dan mengambil anak masing-masing. Lagipun, bagi pekerja wanita yang masih mempunyai anak yang menyusu badan, bukankah kemudahan pusat jagaan sebegini amat mudah dan menyenangkan mereka untuk menyusui si manja.
Salah seorang teman berbual kami tadi adalah salah seorang ahli mesyuarat yang mendapat update terkini mengena perkembangan pembinaan pejabat tersebut dan updatenya tadi amat memeranjatkan kami. Di dalam mesyuarat terkini yang baru diadakan, setakat ini keputusan pengurusan tertinggi adalah kemungkinan besar TIADA PUSAT JAGAAN HARIAN untuk anak-anak warga kerja di organisasi kami yang akan disediakan.
Kami bertanya lagi, apakah alasan pengurusan atas penolakan mereka terhadap permintaan kami untuk penyediaan kemudahan bagi kami kaum-kaum ibu. Lantas mudah saja dijawab oleh teman kami tersebut iaitu bangunan pusat jagaan hendaklah dibuat berasingan daripada kompleks pejabat kami. Baiklah, saya faham kerana keputusan itu adalah atas dasar pembahagian ruang formal dan tidak formal serta atas pertimbangan terhadap circulation dan safety. Kemudian teman saya menyambung lagi bahawa oleh kerana keluasan tapak yang tidak berapa besar, maka pengurusan setakat ini memutuskan untuk tidak menyediakan pusat jagaan tersebut. Saya terfikir bahawa berdasarkan kepada alasan bahawa pusat jagaan adalah kemudahan asas yang amat diperlukan oleh kaum ibu yang bekerja di sini dan bukanlah salah untuk meletakkan pusat jagaan tersebut di dalam kompleks pejabat. Cuma serahkan kepada arkitek yang terbabit menggunakan kebijaksanaan mereka dalam memposisikan ruangan pusat jagaan tersebut.
Namun, ujar teman saya tadi, Ketua kami tidak berapa suka melihat budak-budak kecil di angkut dan dikelek di kawasan pejabat. Tuan Ketua juga mengatakan bahawa tidak manislah apabila para pelanggan melihat 'pemandangan' tersebut di kawasan legar pejabat. Saya hampir tersedak ketika makan tadi. Walaupun saya agak terkejut dengan 'prinsip' Tuan Ketua kami tersebut, saya masih boleh 'maafkan' beliau untuk berpendapat sedemikian kerana beliau adalah seorang lelaki yang sudah menginjak usia 60an dan saya pasti yang mungkin sukar untuk beliau 'menginjak kembali nostalgia lama' nya ketika bergelut membesarkan anak-anak. Ah! Mungkin isterinya suri-rumah dan oleh kerana ini beliau tidak 'dididik' untuk berfikir mengenai keperluan pusat jagaan anak-anak bagi para ibu yang memerah tenaga bekerja di pejabat yang masing-masing juga tidak terlepas daripada menggalas tanggungjawab sebagai ibu kepada anak-anak yang masih kecil! Walau hati-keibuan saya terhiris dengan statement 'tidak suka melihat kami pekerja mengangkut anak di pejabat', namun masih saya cuba pujuk hati saya atas dasar pertimbangan terhadap faktor 'kenaifan' Tuan Ketua tersebut yang tidak tercapai akalnya berfikir seperti seorang ibu.
Namun, apa yang membuatkan saya tidak faham adalah mengapa ahli-ahli mesyuarat yang ada terdiri daripada kaum ibu yang pernah mengharungi pancaroba membahagikan masa antara kerjaya dan anak-anak, tidak bangkit dan mengetengahkan pendapat mereka untuk mempertahankan hak-hak kaum ibu seperti kami. Kami para ibu bukannya akan mengelek anak ke dalam ruangan pejabat ketika waktu bekerja. Mempunyai pusat jagaan anak-anak bermakna kaum ibu akan hanya dilihat mengusung anak dan bayi SEBELUM dan SELEPAS waktu kerja iaitu ketika hendak menghantar anak ke pusat jagaan serta ketika mahu mengambil anak selepas pulang dari pejabat. Untuk kaum ibu yang menyusukan anak ketika waktu rehat pula, jika ada ruangan penyusuan di pusat jagaan, dilengkapi pula dengan undang-undang dan peraturan yang sepatutnya, maka TIADA IBU YANG AKAN DILIHAT MENDAKAP BAYINYA DI DALAM ATAU KETIKA WAKTU PEJABAT.
Lagipun, persoalannya, apakah imej mengelek anak itu terlalu 'low-standard' dan 'tidak profesional' apabila dilihat oleh para pelanggan walaupun di luar waktu pejabat? Ada dua jawapan, Ya dan Tidak. Ya-bagi mereka yang terlebih memikirkan soal imej luaran serta mengenepikan kebajikan pekerja, manakala Tidak-bagi mereka yang memikirkan kebajikan pekerja dan soal praktikaliti.
No comments:
Post a Comment